Friday 26 October 2012

DUNIA SENI VISUAL


O R G A N I S A S I   K A N D U N G A N
Kurikulum Seni Visual untuk sekolah rendah mengandungi empat bidang iaitu menggambar, membuat corak dan rekaan, membentuk dan membuat binaan serta mengenal kraf tradisional. Organisasi kandungan dalam empat bidang tersebut disusun berasaskan kepada  empat standard kandungan iaitu persepsi estetik, aplikasi seni, ekspresi kreatif, dan apresiasi seni. Standard pembelajaran digubal dan diperincikan bagi tujuan pengajaran berasaskan standard pembelajaran.

STANDARD KANDUNGAN 1 : PERSEPSI  ESTETIK
Standard kandungan ini membolehkan murid membuat persepsi dan memahami bahasa seni visual (unsur seni dan prinsip rekaan) yang terdapat pada alam ciptaan Tuhan,  objek buatan manusia, dan karya seni. 

STANDARD KANDUNGAN 2 : APLIKASI  SENI
Standard kandungan  ini membolehkan murid mengaplikasikan pengetahuan, kefahaman, dan bahasa seni visual  menerusi penentuan media dan teknik dalam aktiviti seni.

STANDARD KANDUNGAN 3 : EKSPRESI KREATIF
Standard kandungan ini mengaplikasikan pengetahuan dan kefahaman bahasa seni visual  menerusi penzahiran idea melalui pelbagai sumber, kajian, dan teknologi dalam penghasilan karya seni.

STANDARD KANDUNGAN 4 : APRESIASI SENI VISUAL
Standard kandungan ini membolehkan murid membuat apresiasi terhadap karya sendiri dan rakan berpandukan bahasa seni visual, sejarah seni, dan budaya.  Murid juga boleh membuat penghayatan dan penghargaan seni warisan serta hubung kait seni visual dengan disiplin ilmu yang lain, kehidupan, dan kerjaya.


Sunday 21 October 2012

Pendahuluan



Dunia Seni Visual bertujuan memberikan peluang kepada murid memupuk minat, memperkembangkan keperibadian, memberikan kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain. 

Umumnya, murid di sekolah rendah pada keseluruhan adalah kreatif, ekspresif, dan aktif. Seni Visual memainkan peranan memperkembangkan sifat-sifat ini melalui persepsi visual, imaginasi, dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan, dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri. Pengalaman ini penting kerana dapat membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian, dan mengenali cita rasanya tersendiri. 

Dunia Seni Visualmerangkumi  tajuk-tajuk yang menegaskan aspek penerokaan, proses penghasilan, pengertian seni secara menyeluruh, dan aspek kritikan. Diharapkan dengan adanya kurikulum ini dapat membentuk keperibadian generasi Malaysia yang celik  budaya, dan kesenian. 

Matlamat



Dunia Seni Visual bermatlamat  untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif, dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa, serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat, dan negara selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 

Objektif


Setelah mengikuti Kurikulum Dunia Seni Visual Tahap I murid dapat:

1.     menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan.
2.     melibatkan diri dalam kegiatan seni visual secara aktif, kritis, kreatif, dan menyeronokkan.
3.     menajamkan daya imaginasi melalui pancaindera.
4.     mengenali asas seni reka dan olahan serta dapat menggunakannya.
5.     mengembangkan kemahiran asas dalam pelbagai kegiatan seni visual.
6.     membiasakan diri membuat rekaan seni dengan teratur, cermat, dan selamat .
7.     memupuk nilai-nilai kerjasama, yakin diri, disipilin diri, dan bertanggungjawab.
8.     mengenal dan menghargai tokoh seni dan budaya tanah air.
9.     menggunakan kemudahan teknologi dalam kegiatan penghasilan seni visual.
10.  melibatkan diri dalam kegiatan seni visual sebagai aktiviti kesenggangan yang berfaedah.