Friday 23 November 2012

Fokus Mata Pelajaran


FOKUS MATA PELAJARAN


Tumpuan mata pelajaran ini merangkumi empat aspek utama  iaitu:
a. pemerhatian secara aktif
b. interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan
c. apresiasi seni visual secara mudah
d. menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan

a. Pemerhatian secara aktif

Pemerhatian secara aktif adalah aspek perkembangan deria penglihatan, yang merangkumi pemerhatian keseluruhan, berfokus, dan terperinci untuk menajamkan persepsi murid. Selain itu, aspek ini juga melibatkan pancaindera lain dalam membantu perkembangan emosi dan imaginasi melalui  kajian perbandingan. Faktor ini, dapat membantu pemahaman murid tentang asas seni visual dalam membuat pemerhatian terhadap alam benda dan alam semula jadi secara konkrit bagi mendapatkan imej mental. Umumnya secara keseluruhan kegiatan ini akan dapat membantu murid menyelaraskan idea, imaginasi, dan alam fantasinya ke arah perkembangan persepsi dan pemikiran abstrak.

b. Interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan

Peringkat ini menggalakkan murid membuat penerokaan dan percubaan dalam mempelbagaikan kegiatan kreatif dengan menggunakan alat dan bahan. Proses ini akan memperkembangkan aspek psikomotor dan kemahiran asas seni visual berhubung dengan manipulasi alat dan bahan serta teknik-teknik mudah. Semasa berinteraksi dengan alat dan bahan, murid membuat interpretasi, dan menyelaras konsepsi visualnya.


c. Apresiasi seni visual secara mudah

Apresiasi seni visual memberikan pengalaman kepada murid mengenali aspek pengetahuan seni visual dan kegunaannya dalam pelbagai kegiatan kehidupan dari segi keindahan dan fungsi. Murid terlibat dalam kajian perbandingan dan menyatakan apa-apa yang dilihat dari aspek seni melalui hasil kerja. Pernyataan tentang hasil kerja pula boleh dibuat dalam pelbagai cara seperti lisan, cerita, lakonan, nyanyian, karangan, dan puisi. Murid diperkenalkan kepada tokoh-tokoh seni dan menghargai sumbangan mereka.

d. Menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan

Selain diberikan pengalaman membuat apresiasi seni visual secara mudah, murid juga dipupuk nilai menyayangi dan menghargai segala aspek yang wujud dalam persekitaran dan kehidupan mereka. Ini termasuklah memelihara dan memulihara alam sekitar, nilai patriotisme, nilai kebersihan, dan kepekaan. Dengan ini murid akan dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya apabila berhadapan dengan pelbagai situasi. 

Wednesday 7 November 2012

Warna


Warna Primer (asas)

_ Warna asas terdiri daripada warna biru, merah dan kuning.
_ Warna asas ialah warna utama yang tidak boleh dihasilkan melalui campuran warna lain, tetapi boleh menghasilkan warna sekunder dan warna tertier.

Warna Sekunder
_ Warna sekunder terdiri daripada  warna hijau, jingga dan ungu.
_ Warna sekunder terhasil daripada campuran 2 warna asas.









Friday 26 October 2012

DUNIA SENI VISUAL


O R G A N I S A S I   K A N D U N G A N
Kurikulum Seni Visual untuk sekolah rendah mengandungi empat bidang iaitu menggambar, membuat corak dan rekaan, membentuk dan membuat binaan serta mengenal kraf tradisional. Organisasi kandungan dalam empat bidang tersebut disusun berasaskan kepada  empat standard kandungan iaitu persepsi estetik, aplikasi seni, ekspresi kreatif, dan apresiasi seni. Standard pembelajaran digubal dan diperincikan bagi tujuan pengajaran berasaskan standard pembelajaran.

STANDARD KANDUNGAN 1 : PERSEPSI  ESTETIK
Standard kandungan ini membolehkan murid membuat persepsi dan memahami bahasa seni visual (unsur seni dan prinsip rekaan) yang terdapat pada alam ciptaan Tuhan,  objek buatan manusia, dan karya seni. 

STANDARD KANDUNGAN 2 : APLIKASI  SENI
Standard kandungan  ini membolehkan murid mengaplikasikan pengetahuan, kefahaman, dan bahasa seni visual  menerusi penentuan media dan teknik dalam aktiviti seni.

STANDARD KANDUNGAN 3 : EKSPRESI KREATIF
Standard kandungan ini mengaplikasikan pengetahuan dan kefahaman bahasa seni visual  menerusi penzahiran idea melalui pelbagai sumber, kajian, dan teknologi dalam penghasilan karya seni.

STANDARD KANDUNGAN 4 : APRESIASI SENI VISUAL
Standard kandungan ini membolehkan murid membuat apresiasi terhadap karya sendiri dan rakan berpandukan bahasa seni visual, sejarah seni, dan budaya.  Murid juga boleh membuat penghayatan dan penghargaan seni warisan serta hubung kait seni visual dengan disiplin ilmu yang lain, kehidupan, dan kerjaya.


Sunday 21 October 2012

Pendahuluan



Dunia Seni Visual bertujuan memberikan peluang kepada murid memupuk minat, memperkembangkan keperibadian, memberikan kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain. 

Umumnya, murid di sekolah rendah pada keseluruhan adalah kreatif, ekspresif, dan aktif. Seni Visual memainkan peranan memperkembangkan sifat-sifat ini melalui persepsi visual, imaginasi, dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan, dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri. Pengalaman ini penting kerana dapat membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian, dan mengenali cita rasanya tersendiri. 

Dunia Seni Visualmerangkumi  tajuk-tajuk yang menegaskan aspek penerokaan, proses penghasilan, pengertian seni secara menyeluruh, dan aspek kritikan. Diharapkan dengan adanya kurikulum ini dapat membentuk keperibadian generasi Malaysia yang celik  budaya, dan kesenian. 

Matlamat



Dunia Seni Visual bermatlamat  untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif, dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa, serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat, dan negara selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 

Objektif


Setelah mengikuti Kurikulum Dunia Seni Visual Tahap I murid dapat:

1.     menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan.
2.     melibatkan diri dalam kegiatan seni visual secara aktif, kritis, kreatif, dan menyeronokkan.
3.     menajamkan daya imaginasi melalui pancaindera.
4.     mengenali asas seni reka dan olahan serta dapat menggunakannya.
5.     mengembangkan kemahiran asas dalam pelbagai kegiatan seni visual.
6.     membiasakan diri membuat rekaan seni dengan teratur, cermat, dan selamat .
7.     memupuk nilai-nilai kerjasama, yakin diri, disipilin diri, dan bertanggungjawab.
8.     mengenal dan menghargai tokoh seni dan budaya tanah air.
9.     menggunakan kemudahan teknologi dalam kegiatan penghasilan seni visual.
10.  melibatkan diri dalam kegiatan seni visual sebagai aktiviti kesenggangan yang berfaedah.